Akibat marah mukanya dicat, pelajar membelasah guru sampai mati

Luar negara

JAKARTA, INDONESIA – Seorang guru pendidikan seni yang bertarung nyawa selepas dibelasah salah seorang pelajarnya, meninggal dunia pada Khamis.

Guru terbabit, Ahmad Budi Cahyono mengajar di Sekolah Menengah Atas (SMA) Negeri 1 Torjun, Kabuputen Sampang di Jawa Timur.

Mangsa menghembuskan nafas terakhirnya semasa dirawat di Hospital Dr Soetomo.

Bagi melindungi identiti suspek, polis menamakan murid tersebut sebagai HI.

Kata polis, ketika sesi pembelajaran berlangsung, HI tidak fokus malah mengganggu pelajar lain.

Gambar kenangan Ahmad Budi bersama isterinya

“Mangsa berulang kali menegur suspek supaya berhenti bermain namun tidak diendahkan, malah sikap nakal HI semakin menjadi-jadi.

“Disebabkan itu, mangsa mengambil berus cat dan menconteng pipi pelajar terbabit.

“Kerana tidak berpuas hati, HI bangun dan membelasah mangsa tanpa belas kasihan,” kata Pesuruhjaya Polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera, hari ini.

Tambah Barung, pelajar dan guru-guru lain terpaksa masuk campur bagi menghentikan perbuatan HI.

Suspek yang hanya dinamakan sebagai HI

Difahamkan selepas insiden tersebut, mangsa diberi kebenaran oleh pengetua sekolah untuk balik lebih awal.

Setibanya di rumah, keluarga mangsa memberitahu mangsa mengadu sakit pada bahagian leher sebelum masuk tidur.

Selang beberapa jam, mangsa mengadu sakit sebelum tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Dr Soetomo di Surabaya.

“Daripada keterangan guru-guru yang berada di hospital, mangsa mengalami mati otak dan semua organ juga sudah tidak berfungsi.

“Mangsa meninggal dunia pada Khamis kira-kira pukul 9.40 pagi (waktu tempatan),” ujar Barung.

Katanya, kes masih disiasat dan tindakan dan hukuman sewajarnya akan dikenakan kepada pelajar terbabit.

 

Al-fatihah untuk arwah.

Sumber: Sindonews via terengganutimes