6 Kelompok Pati Malaysia Di Korea Selatan Yang Ramai Tak Tahu..

Kisah Hidup

SEOUL: Di mata penduduk Korea Selatan, kehadiran pelancong Malaysia bukanlah satu ‘pemandangan’ asing bagi mereka kerana rakyat kita sememangnya gemar bercuti ke sini, tanpa mengira musim.

Bagi rakyat Malaysia yang melancong ke sini pula, sudah menjadi perkara biasa jika terserempak dengan saudara-mara, rakan atau warga Malaysia yang dikenali, kerana turut menghabiskan cuti di negara K-Pop ini.

Namun, di sebalik situasi biasa itu, tidak ramai yang tahu bahawa selain pelancong dan pekerja dari Malaysia yang mencari rezeki secara profesional di sini, wujud kumpulan rakyat kita yang hidup melarat, gara-gara memilih bekerja secara tidak sah di negara ini.

Jumlah mereka yang mengambil risiko menerima tawaran pekerjaan itu dianggarkan sekitar 5,000 orang sejak 2016. Mengikut laporan Korean Herald, bilangan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Korea Selatan mencecah 251,000.

Menurut Wall Street Journal pada 2014, Korea Selatan mungkin memerlukan sebanyak 15 juta pendatang untuk memacu pembangunan.

Seperti pelancong lain, kumpulan buruh haram ini pada asalnya turut masuk mengggunakan visa pelancong, tetapi sebaik tiba di sini, mereka ‘melencong’ dengan melakukan pelbagai pekerjaan yang dikatakan menawarkan gaji lumayan berbanding bekerja di negara sendiri.

mStar Online telah membuat tinjauan ke atas kumpulan ini dan pada umumnya terdapat enam kategori buruh haram dari Malaysia di Korea Selatan.

Kategori pertama dilihat sebagai kelompok buruh haram yang ‘berjaya’ atau bernasib baik apabila masuk menggunakan visa pelancong selama tiga bulan dan mampu balik ke Malaysia atau ‘bercuti’ ke negara lain selepas tamat tempoh itu, sebelum masuk semula ke sini untuk bekerja.

Individu dari kelompok ini dianggap kental dan mampu bertahan dengan kerja-kerja berat yang dilakukan, mendapat majikan yang baik, dibayar gaji lumayan seperti yang dijanjikan dan yang pasti terlepas dari tindakan pihak berkuasa walaupun berstatus buruh haram.

Bagaimanapun, wujud juga kumpulan rakyat Malaysia yang mengambil risiko dengan sanggup tinggal di sini walaupun visa pelancong mereka telah tamat tempoh (overstay), sama ada terus bekerja seperti biasa atau menunggu peluang kerja lain selagi tidak ditahan pihak berkuasa atau tidak berdepan isu lain seperti kemalangan di tempat kerja atau dimanipulasi majikan.

Secara umumnya, dapatlah dikatakan pekerja dalam dua kelompok ini berjaya mencapai impian mereka, masih mempunyai tempat tinggal dan menjalani kehidupan yang baik di sini.

Tidak seperti dua kumpulan yang dinyatakan di atas, jangan tidak percaya apabila terdapat kumpulan rakyat Malaysia yang menjadi gelandangan di sini dengan tidur di sekitar masjid pada hujung minggu atau terpaksa menumpang di rumah tetamu (guesthouse).

Rata-rata mereka yang berada dalam golongan ini menganggur atas pelbagai sebab termasuklah ditipu ejen, tidak dibayar gaji atau tamat kontrak sekali gus tiada wang untuk menyewa tempat tinggal, apatah lagi membeli tiket pulang ke tanah air.

Sekumpulan rakyat Malaysia yang dibawa oleh ejen pekerjaan untuk menjadi buruh di Korea Selatan. – Facebook

Berbeza pula dengan kumpulan keempat, mereka terpaksa overstay kerana menunggu kes dibentangkan di pejabat buruh untuk mendapatkan pampasan daripada majikan akibat kemalangan di tempat kerja.

Memandangkan tinjauan dilakukan pada musim sejuk dan difahamkan tidak banyak peluang kerja ditawarkan pada musim ini, maka wujudlah kelompok rakyat Malaysia yang hilang atau tiada pekerjaan tetapi sanggup menunggu sehingga musim sejuk berakhir kerana percaya lebih banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan ketika itu.

Bagi yang mempunyai wang, kehidupan mereka di sini mungkin tidak bermasalah, tetapi tidak bagi mereka yang belum pernah bekerja dan tiada gaji, tentunya keadaan mereka menyedihkan apabila perlu ikat perut atau mengharapkan ihsan rakan-rakan lain.

Dalam pada itu, terdapat juga rakyat Malaysia yang cedera tapi diberikan visa perubatan oleh kerajaan Korea yang membolehkan mereka tinggal di sini sehingga rawatan mereka selesai.

Bagi enam kelompok ini, masing-masing mempunyai alasan masing-masing untuk pulang atau tidak ke tanah air kerana ingin memastikan matlamat mereka tercapai dan tentu sekali ia untuk mengaut sebanyak mungkin pendapatan sebelum kembali ke kampung halaman.

Tetapi, apakah ia boleh menjadi kenyataan seperti yang diinginkan, tentu sekali masa yang akan menentukannya.

 

sumber:bicara islam