Bila Tetiba Kau Perasaan Patung Anak Bergerak Sendiri Secara Tiba-Tiba..

Informasi

Percaya atau tidak, tuan empunya cerita tidak memaksa untuk berbuat demikian. Katanya, hanya sekadar berkongsi kejadian ‘pelik’ yang baru saja berlaku pada keluarga mereka di mana kedudukan patung mainan anak perempuan secara tiba-tiba berubah posisi.

Siapa yang mengalihkannya? Adakah patung itu ‘bernyawa’? Adakah patung bernama ‘Baby’ itu berpenunggu. Tiada siapa yang tahu dan apa yang kita semua tahu, patung itu telah dibakar si ibu kerana bimbang dengan keselamatan keluarga mereka.

ASSALAMUALAIKUM. Apa yang akak nak ceritakan ini adalah benar dan bukan rekaan. Bolehlah diambil iktibar bersama.

Beberapa hari lalu, akak ada ternampak post di Facebook yang ustaz kata tak boleh simpan mainan berbentuk patung di dalam rumah. Terus terang akak cakap, akak memang tak percaya sebab Jasmine ada banyak patung di rumah, tetapi tak pernah pula berlaku sebarang kejadian yang pelik.

Nak dijadikan cerita, Lily demam. Malam tadi sekitar jam dua pagi, badan dia panas balik dan akak bangun untuk basahkan badan dia. Sambil basahkan badan anak, akak ternampaklah patung itu dengan kedudukan seperti dalam gambar pertama itu.

Jasmine memang suka letak patungnya begitu, ‘baby’ tidur katanya. Memang tak ambil portlah kan. Kemudian bagi susu pada Lily dan semua sambung tidur dan Lily pun tidur.

Dalam lebih kurang jam empat pagi, Lily terbangun lagi dan suhu badannya naik semula. Akak pun bangunlah nak basahkan badan dia. Kemudian mata akak terus tertoleh pada patung tadi. Terus berdiri bulu roma. Kepala jadi besar tiba-tiba.

Akak tanya suami, ada tak alihkan patung itu ke? Suami cakap tak ada. Bertambah seriaulah. Mula-mula patung itu dalam kedudukan gambar pertama, tetapi kenapa tiba-tiba saja kedudukannya seperti dalam gambar kedua itu?

Sumpah demi Allah, akak tak tipu. Dengan Lily demam kuat lagi ni. Akak terus teringat pada post yang ustaz kata tak boleh simpan patung itu sebab akak tak percaya kan, sekarang dah terkena dan terjadi pada diri sendiri.

Akak kongsi sebagai peringatan bersama. Yang rasa macam tak percaya, rasa akak reka cerita itu tak apalah. Akak tak paksa untuk percaya. Tetapi satu hari nanti kalau terkena pada diri sendiri, tahulah rasa macam mana. Hehe.

Ni akak nak bawa Lily pergi berjumpa dengan ustaz. Kalau tak kebah juga, kena pergi hospital lagi. Doakan Lily cepat sembuh. Gambar-gambar di ini akak snap semula sebelum patung ini dibakar untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada semua. Masa kejadian, tak sempat nak rakam pun sebab bukan tahu insiden ini nak terjadi kan. Doakan semuanya baik-baik sahaja.

Sumber: Aziey Mat Ghani via The Reporter
‘Ini antara patung yang dimiliki pesakit yang terkena gangguan sihir/saka’

“Ini adalah antara patung-patung yang dimilik pesakit yang terkena gangguan sihir atau saka,” demikian tulis pengamal perubatan Islam yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Jin.

Menurut pengalaman Ustaz Jin, penghuni rumah yang menyimpan patung-patung di rumah tidak kira sama ada besar atau kecil, mudah terkena gangguan.

“Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada patung besar dan kecil, kecuali malaikat maut. Apabila malaikat tidak masuk, jin dan syaitan akan senang masuk dan mudah terkena gangguan ini, mengikut pengalaman saya sebagai perawat.

“Keluarkanlah patung-patung besar atau kecil untuk mengelakkan daripada senang terkena gangguan jin dan syaitan. Perempuan yang akil baligh yang main patung hukumnya adalah haram. Wallahuallam,” tulisnya.

Bagaimanapun, ada segelintir netizen yang salah faham dengan kenyataan Ustaz Jin yang didakwa menjatuhkan hukum haram bermain patung dengan sewenang-wenangnya. Tidak melatah dengan dakwaan itu, Ustaz Jin menjelaskan hukum bagi perempuan yang akil baligh adalah haram, namun tidak bagi kanak-kanak yang belum akil baligh.

“Kenapa perlu berbalah? Post saya tidak mengatakan haram kepada budak-budak, tetapi haram kepada perempuan akil baligh. Kalau tak bagi anak-anak main patung pun tak jadi masalah. Ambil mudarat yang kecil, tinggalkan mudarat yang besar,” tulisnya yang turut menyertakan video ceramah dari Ustaz Azhar Idrus berhubung isu berkenaan bagi menyokong kenyatannya itu.

“Saya cuma memberi ilmu dan kebaikan kepada orang supaya orang Islam tahu. Terpulang kepada masing-masing. Yang baik datang dari Allah, yang tidak baik datang dari kejahilan kita sendiri,” tulisnya.

Terdahulu, viral di media sosial seorang wanita mendakwa patung anak perempuannya bergerak sendiri dalam kejadian awal pagi di rumah mereka baru-baru ini.

Pada awalnya, patung berkenaan berada dalam keadaan ‘tidur’, namun wanita itu tidak mengendahkan kerana sudah menjadi kebiasaan anak perempuannya meletakkan patung itu berada dalam posisi ‘tidur. Bagaimanapun sekitar jam 4 pagi, dia mendapati patung itu berada dalam keadaan berdiri.
Ini Komen Ustaz Azhar Idrus Tentang Patung Di Dalam Rumah.