Kenali Sultan Kosen, Manusia Paling Tinggi Di Dunia Dengan Memiliki Ketinggian Lebih 8 Kaki!

Kisah Hidup

Manusia paling tinggi di dunia yang masih hidup ini bukanlah Sultan mana-mana kerajaan, namun namanya adalah Sultan Kösen.

Pada tahun 2009, Sultan menjadi manusia pertama sejak 20 tahun lalu melebihi ketinggian 8 kaki (244 cm) melalui ukuran oleh Guinness World Records (GWR).

Kenyataannya, GWR hanya mengetahui 10 kes yang boleh disahkan dan boleh dipercayai tentang manusia yang bertinggian melebihi 8 kaki.

Pada tahun berkenaan, petani sambilan dari Turki ini diukur berketinggian 246.5 cm, merampas gelaran ikonik ‘Manusia Masih Hidup Tertinggi Di Dunia’ daripada pemegang sebelumnya.

Pada tahun 2011 di Ankara, Turki, ketinggiannya diukur lagi. Pada masa itu, ketinggiannya bertambah sebanyak 4.5 cm kepada 251 cm.

Sultan dilahirkan pada 10 Disember 1982. Tumbesarannya normal ketika masih bayi dan kanak-kanak. Namun ketika dia berusia 10 tahun, dia mula membesar secara mendadak.

Ahli keluarganya termasuk kedua ibu bapa dan 4 orang adik beradik semuanya mempunyai saiz badan yang normal.

Tumbesaran Sultan yang unik dan ketinggian yang luar biasa adalah disebabkan penghasilan hormon tumbesaran secara berlebihan, keadaan yang dikenali sebagai ‘gigantisme pituitari’.

Hormon tumbesaran dibebaskan oleh kelenjar pituitari di dalam otak. Sekiranya kelenjar ini rosak akibat tumor, ia berupaya membebaskan hormon secara berlebihan. Hormon boleh terbebas secara berlebihan atas sebab-sebab lain juga.

Antara kesan hormon tumbesaran secara berlebihan termasuklah tangan yang besar, tulang yang tebal dan sendi yang menyakitkan. Sultan tidak pernah menamatkan pengajian sekolah kerana merasakan saiznya yang besar sebagai suatu halangan. Dia berhenti sekolah dan mula bekerja sebagai petani bagi menyara keluarganya.

Menurut Sultan, antara kelebihan menjadi tinggi adalah mudah untuk membantu ibunya dengan kerja-kerja rumah seperti menukar mentol lampu yang sudah rosak dan menukar langsir.

Terlalu tinggi juga mempunyai kekurangannya. Sultan merungut kerana susah untuk mencari pakaian dan kasut yang muat. Dia juga merungut tentang betapa susahnya untuk dia untuk menaiki kereta bersaiz normal.

Ketika ditemu ramah oleh Guinness World Records, Sultan berkata dia tidak pernah terbayang untuk menjadi sebahagian daripada buku rekod dunia ini. Walaupun dia pernah mengimpikannya, ia masih suatu kejutan besar buat dirinya.

Selain memegang rekod manusia tertinggi, dia juga memegang rekod ‘Manusia Masih Hidup Dengan Tangan Paling Besar di Dunia’, dengan ukuran 28.5 cm daripada pergelangan tangan sehingga ke hujung jari tengah (bagi kedua-dua belah tangan).

Sultan juga pernah memegang rekod ‘Manusia Masih Hidup Dengan Kaki Paling Besar Di Dunia’, dengan ukuran 36.5 cm bagi kaki kiri dan 35.5 cm bagi kaki kanan.

Tahun-tahun berikutnya, kehidupan gergasi ini banyak berubah. Pendedahan dalam Guinness World Records sebagai manusia tertinggi menarik banyak perhatian media dan orang ramai.

Dia turut ditawarkan pembedahan percuma bagi menghentikan tumbesaran badannya yang mendadak itu. Dia menerima tawaran tersebut dan menjalani pembedahan serta merta.

Pembedahan oleh pakar bedah dari University of Virginia, Amerika Syarikat pada Ogos 2010 melibatkan penggunaan pisau bedah gamma pada tumor yang menjejaskan kelenjar pituitarinya berjaya menghentikan penghasilan hormon tumbesaran.

Saya manusia biasa yang mempunyai kehendak seperti orang lain. Saya mahukan seorang isteri, sebuah keluarga dan sebuah rumah yang selesa. Saya juga inginkan peluang untuk mencari pakaian yang muat.

Ini adalah impian Sultan. Pada Oktober 2013, impiannya untuk memiliki seorang pasangan hidup tercapai apabila dia mengahwini Merve Dibo, seorang gadis Syria yang 9 tahun lebih muda daripadanya.

Merve mempunyai ketinggian 1.75 cm, agak tinggi bagi kaum wanita. Mereka berkenalan melalui seorang rakan kenalan. Gadis tersebut sanggup datang dari Syria untuk bertemu Sultan di Kampung Dede Köy di Turki. Mereka berkahwin 2 bulan kemudian.

Pasangan itu menyambut perkahwinan mereka bersama 1500 tetamu, yang turut disertai oleh wakil daripada Guinness World Records dan pembesar-pembesar tempatan.

Apa Sultan Kösen Buat Sekarang?

Kini namanya dikenali di seluruh dunia kerana ketinggian yang luar biasa. Selepas melakukan pembedahan bagi menghentikan tumbesaran, Sultan beberapa kali dijemput membintangi beberapa filem Holywood.

Pada tahun 2016, dia menerima peranan pertamanya dalam filem Achieving the Impossible. Dia membuat keputusan itu selepas penulis skrin filem berkenaan datang melawatnya di Mardin dan berbincang tentang subjek ‘achieving the impossible’.

Sepanjang tahun 2016, dia banyak bersama kumpulan Magic Circus of Samoa mengembara Lautan Hindi.

Sumber – Iluminasi